Waktu perjalanan PLUS bantu kelancaran trafik

Rate this Content 1 Votes

 

[Back]

Tinjauan orang ramai yang pulang ke kampung sempena menjelang Aidilfitri di Tol Sungai Besi. 


 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Warga kota sejak semalam mula beransur-ansur meninggalkan ibu negara untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Tinjauan Mingguan Malaysia di Plaza Tol Sungai Besi hari ini menyaksikan pertambahan ketara jumlah kenderaan yang menuju ke selatan tanah air.

Seorang pengguna, Shahril Nizam Abdul Jalil, 36, berkata, cadangan PLUS Expressways Berhad (PLUS) mengenai jadual perjalanan mengikut waktu ganjil dan genap dipercayai dapat membantu kelancaran trafik.

"Saya rasa cadangan itu berkesan kerana kita dapat lihat kenderaan bergerak dengan lancar dan plaza tol juga tidak begitu sesak," katanya yang akan pulang ke Melaka.

Justeru, Shahril Nizam turut menasihatkan pengguna lebuh raya yang lain agar mengikut jadual perjalanan tersebut bagi memudahkan perjalanan masing-masing.

Seorang lagi pengguna, Hafiz Zaini, 35, turut bersetuju yang cadangan tersebut membantu merancang perjalanan pulang ke kampung.

"Nombor kereta saya berakhir dengan angka 0, jadi saya mengambil keputusan untuk bertolak pada pukul 2 petang tadi dari rumah di Ampang.

"Sehingga kini perjalanan masih lagi lancar dan saya berharap perjalanan pulang ke Negeri Sembilan tidak akan menjadi masalah," katanya.

Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Ahmad Hambal Adnan, 25, berkata, walaupun hanya menunggang motosikal untuk pulang ke Melaka, dia dapat merasakan keadaan lalu lintas akan mula sesak pada malam ini.

"Mungkin ada yang masih membeli-belah pada saat akhir, rasanya sebab itulah bilangan kereta tidak banyak sekarang. Jadi senang sikit saya mahu pulang," katanya.

Bagi Abdul Muhaimin Abdul Hadi, 29 pula, perjalanannya dari Perak ke Putrajaya, lancar walaupun bertolak tidak mengikut cadangan yang diberikan PLUS.

"Walaupun tidak mengikut jadual PLUS, saya masih lagi tidak tersangkut dalam kesesakan kerana saya rasa orang ramai akan mula pulang ke selatan pada malam ini," katanya.