[Back]
KUALA LUMPUR: Pengguna Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dinasihatkan memulakan perjalanan selepas jam 6 petang hari ini bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas berikutan peningkatan jumlah trafik di lebuh raya itu.
Twitter PLUS pada petang ini melaporkan, kenderaan semakin bertambah menyebabkan trafik bergerak perlahan di Kilometer 226 hingga Kilometer 230.5 arah Selatan dari Changkat Jering ke Kuala Kangsar, Perak.
Sementara laluan dari Plaza Tol Juru menuju ke arah Kuala Lumpur juga sesak, serta dari Yong Peng menuju ke Pagoh, Johor berikutan satu kemalangan di Km 101.9 arah utara.
Sementara itu, petugas Pusat Kawalan Plus trafik berkata, jumlah trafik di lebuh raya itu juga bertambah dari Rehat dan Rawat (R&R) Seremban menuju ke Nilai dan di R&R Sungai Perak menuju ke Terowong Menora, Perak.
"Bagaimanapun, trafik masih bergerak lancar di Plaza Tol utama iaitu Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Jalan Duta," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. - BERNAMA